Vaksin rubela

Vaksin rubela merupakan vaksin yang digunakan untuk mencegah rubela.[1] Keberkesanannya bermula kira-kira dua minggu selepas satu dos dan kira-kira 95% penerima vaksin menjadi imun. Negara-negara dengan kadar pengimunan yang tinggi tidak lagi memerhatikan kes rubela atau sindrom rubela kongenital. Apabila pengimunan kanak-kanak dalam suatu populasi adalah rendah, kadar rubela kongenital mungkin meningkat kerana lebih ramai wanita mencapai umur yang boleh melahirkan anak tanpa pemvaksinan atau pendedahan kepada penyakit ini. Oleh itu, penting untuk memvaksinkan lebih daripada 80% penduduk.[1]Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan supaya vaksin rubela disertakan dalam pemvaksinan rutin. Jika tidak semua penduduk diimunkan, maka sekurang-kurangnya wanita yang boleh melahirkan anak hendaklah diimunkan. Vaksin ini tidak boleh diberi kepada wanita yang hamil atau mereka yang mempunyai fungsi imun yang sangat lemah. Dua dos sering diberikan walaupun biasanya hanya satu dos diperlukan untuk perlindungan sepanjang umur, dua dos sering diberikan.[1]Secara amnya, kesan sampingan vaksin ini adalah sederhana. Kesan sampingan mungkin melibatkan demam, ruam, serta kesakitan dan kemerahan pada tempat suntikan. Sakit sendi mungkin dilaporkan antara satu hingga tiga minggu selepas pemvaksinan dalam kalangan wanita. Alergi yang teruk jarang dilaporkan. Vaksin rubela boleh didapati dengan sendirinya atau dalam gabungan dengan vaksin lain. Gabungan termasuk dengan vaksin campak dan beguk (vaksin MMR) dan vaksin campak, beguk dan varisela (vaksin MMRV).[1]Vaksin rubela mula-mula dilesenkan pada tahun 1969.[2] Ia tersenarai dalam Senarai Ubat Penting Pertubuhan Kesihatan Sedunia, iaitu ubat paling penting yang diperlukan dalam sistem kesihatan asas.[3] Setakat tahun 2009, lebih daripada 130 buah negara menyertakannya dalam pemvaksinan rutin mereka.[1] Harga borong vaksin MMR pada tahun 2014 ialah 0.24 dolar Amerika sedos.[4] Di Amerika Syarikat, kosnya ialah antara 50 hingga 100 dolar Amerika.[5]